Monday, February 20, 2012

Cerpen : Epal Semerah Cintamu

PERADUAN MENULIS CERPEN
sempena penerbitan novel
MERAH EPAL CINTA
karya
RIDHA REEANI






   Sebiji epal merah dalam peganganku dipandang sepi. Cantik diikat dengan riben berwarna senada di tangkainya. Kad kecil berwarna merah jambu yang disertakan bersama kubuka perlahan-lahan.
   ‘Everyday I catch myself smiling for no reason. Then I realize I am thinking about you.’
   Manis sungguh kata-kata si pengirim. Entah mengapa hatiku jadi sebal. Bingung memikirkan siapa pengirim epal merah dan kad-kad romantik selama ini. Akhirnya kuletak jua epal merah itu ke dalam peti sejuk di ruang rehat pejabat seperti selalunya. Biarlah sesiapa pun yang mahu menikmati kemanisannya, aku lebih rela menelan pahitnya kenyataan yang aku akan menjadi isteri kepada lelaki yang tidak pernah kukenali pada hari Sabtu yang bakal kunjung tiba ini.
   “Helena, awak keluar makan dengan siapa hari ini?” Suara serak basah milik lelaki berkot hitam itu menghentikan lamunanku. Pembantu pengarah di syarikat tempatku bekerja itu memang sentiasa kemas dan kacak. Status anak pengarah telah memberikannya tiket untuk menyandang jawatan besar tersebut.
   “Maaflah, Encik Mukhlis. Saya dah janji dengan Mikail,” lantas mataku terarah kepada kawan baikku, Adam Mikail yang sedang sibuk melukis pelan bangunan masjid di dalam bilik peribadinya yang berdinding kaca itu.
   “Okey,” balas Aiman Mukhlis sepatah sambil berlalu pergi. Jelas terpapar di wajahnya riak kekecewaan kerana aku tidak pernah menerima pelawaannya untuk keluar bersama-sama. Walaupun hatiku gembira dengan pelawaan lelaki berdarah kacukan Cina itu namun aku lebih mengutamakan janji dengan kawan baikku yang sudah kukenali sejak di bangku sekolah menengah lagi.
   “Encik Mukhlis itu memang dah tangkap cintan dengan kaulah!” Bisik rakan sekerjaku, Muna, sambil tersenyum nakal.
   “Kau jangan tersalah tafsir,” aku membidas kata-kata Muna.
   “Setiap hari dia ajak kau makan tengah hari sama-sama, kau nak pulang ke rumah pun dia pelawa mahu hantarkan. Cuma kau saja yang selalu ‘tak apalah, Encik Mukhlis. Saya dah janji dengan Mikail’. Arkitek cabuk itu jugak yang kau selalu sebut,” balas Muna mengajuk jawapan yang selalu kuberikan kepada ketuaku itu.
   Kalau lelaki berdagu belah itu mengajakku untuk keluar bersama-sama lebih awal daripada Adam Mikail pasti aku akan bersetuju. Adam Mikail adalah sahabatku yang selalu punya masa di saat aku senang mahupun susah, jadi aku harus menghargainya dan tidak memungkiri janji kami.
   Sudah tiga bulan aku bertunang dengan lelaki yang tidak pernah kutahu siapa. Ibu ada menyuruh aku melihat foto bakal suamiku tetapi aku pantas mengelak. Aku belum cukup sedia. Apa yang aku tahu, bakal suamiku berasal daripada keluarga yang berada dan akan menguruskan syarikat milik keluarganya setelah kami bernikah. Aku tidak pernah kisah hal itu, asalkan bapaku gembira dengan perkahwinan anak dara tunggalnya ini dengan anak lelaki kawan baiknya itu.
   “Hei, bakal pengantin! Kenapa muram? Jomlah makan,” sapa Adam Mikail ceria sambil menggalas tas tanganku lalu berjalan ke arah lif. Mahu tidak mahu, aku terpaksa juga menurut langkah lelaki berkemeja biru itu ke Toyota Yaris miliknya. Siapa kata Adam Mikail arkitek cabuk?
   “Nanti lepas aku kahwin, kita dah tak bolehlah nak berkawan baik sangat, kan. Laki aku mesti hangat nanti.” Aku memulakan bicara sambil memasang tali pinggang keledar. Senyuman hambar kulemparkan ke luar jendela. Terasa mahu sahaja aku curahkan segala isi hatiku kepada lelaki berwajah tenang itu. Betapa aku tidak bersedia dengan perkahwinan yang aku sendiri telah bersetuju itu.
   “Listen to me, Helena. Aku tahu kau sedih. Tapi kau kan dah bersetuju, there is nothing you can say. Aku percaya lelaki bertuah itu pasti dapat memberikan kebahagian kepada kau. Just believe me,” kata-kata Adam Mikail dapat juga menenangkan hatiku walaupun sedikit cuma.
   “Datanglah kenduri aku nanti. Sabtu ini. Untuk kau tak ada kad sebab aku takut nama kau pula yang tertulis sebagai pengantin lelaki,” sengaja aku mahu mewujudkan suasana ceria antara kami. Padahal aku pun tidak pernah mahu melihat kad undangan perkahwinan aku sendiri.
   “Lusa? Cepatnya! Hmm, menghitung hari lah aku dapat keluar dengan kawan baik aku dunia akhirat ini.”
   “Kau tetap kawan baik aku sampai bila-bila,” balasku tersenyum ikhlas.
***
   ‘I wanna marry you and I will.’
   Sekeping kertas segi empat kecil berwarna kuning dihulurkan oleh lelaki yang tidak pernah serik cuba mendekatiku itu. Pen dilepaskan dari peganganku. Aku mengangkat kepala memandang penghulur kad kuning itu. Senyuman menggoda ikhlas dihadiahkannya kepadaku. Mataku pernah terpesona dengan senyuman itu. Nama ‘Aiman Mukhlis’ memang pernah terukir di dasar hatiku. Namun, harus kupadam semua impian dan harapanku kerana aku akan menjadi milik lelaki lain. Lelaki yang tidak pernah kucintai.
   “Encik Mukhlis, saya tak boleh ada perasaan yang sama seperti Encik,” luahku dengan harapan dia akan berhenti mengejarku. Mungkinkah lelaki ini yang selalu meletak epal merah dan kad kecil di atas mejaku? Berkemungkinan juga kerana dia sedang menghulurkan kad kecil yang sama saiz seperti selalunya. Tapi, mana epal merah?
   “Sejauh mana pun awak lari, saya tetap akan kejar. Awak boleh lari tapi awak tak boleh menyorok,” balas Aiman Mukhlis sambil memandangku. Kau terlambat, Aiman Mukhlis. Terlalu terlambat!
   “Saya akan menjadi hak lelaki lain tak lama lagi,” balasku separuh berbisik. Air mataku tidak dapat kutahan lagi.
   “Saya akan pastikan lelaki itu adalah Aiman Mukhlis,” ungkapan itu diikuti dengan senyuman penuh makna yang terukir di bibir lelaki berkulit putih bersih itu.
   Terkesima aku mendengar jawapannya. Tidak pernah kuimpi lelaki pujaan hatiku itu akan berkata sebegitu. Namun, tiada apa yang akan mengubah takdirku.
***
   Malam sebelum hari perkahwinanku, semua orang sibuk mempersiapkan segala-galanya. Ayah dan Abang Haris sibuk dengan pemasangan khemah di halaman rumah. Ibu dan nenek pula sedang asyik menguruskan bunga telur dan beg-beg cenderahati untuk diberikan kepada tetamu-tetamu yang hadir esok. Saudara-mara yang lain juga turut sama membantu apa yang patut. Ini membuatkan rumahku tersangatlah meriah. . Cuma aku saja yang berkurung di dalam bilikku. Sedang mengira detik-detik bahagiaku yang sedang berlalu pergi sebelum aku sah menjadi isteri orang. Awal pagi esoknya, kru-kru butik pengantin akan datang untuk menghias seluruh rumahku dengan tumbuhan hijau dan bunga mawar merah. Pelamin dan bilik tidurku juga akan dihias cantik dengan tumbuhan hijau dan bunga hidup itu. Ibu yang memilih konsep ‘perkahwinan dalam taman’ untuk perkahwinanku ini.
   Tiba-tiba telefon bimbitku menjerit kuat minta dijawab panggilan yang masuk. Aku segera meneliti siapakah pemanggil tersebut lalu menjawabnya.
   “Mikail!” Aku menyapa dengan ceria.
   “Macam mana nak jadi bini orang kau ini, salam pun tak bagi. Aku kena ajar kaulah! Assalamualaikum,” balas Adam Mikail serius. Namun dapat kudengar tawa kecil di hujung ayatnya.
   “Rindulah, hari ini kan aku cuti,” suaraku kembali resah. Resah memikirkan apakah kesinambungan persahabatan kami setelah akad nikahku pagi esok.
   “Kau lambatlah, Helena. Kalau kau cakap dari awal yang kau sukakan aku mesti esok kau akan menjadi milik aku,” lelaki itu cuba menyakat tetapi bibirku menguntumkan senyuman juga. Terhibur dengan jenaka lelaki yang selalu menenangkanku di kala aku serabut, memujukku di saat aku bersedih dan menghulurkan tangannya untukku paut pada ketika aku hilang harapan.
   “Aku boleh saja, kaulah yang tak pernah lamar aku,” aku cuba mengikut rentak Adam Mikail. Hujung rambutku dipintal-pintal dengan jari sambil aku memandang senyumanku dalam cermin meja solek di hadapanku. Sungguh senyumanku akan lenyap tanpa lelaki yang seorang itu.
   “Jomlah ‘aku terima nikahnya Helena Carissa binti Haiman’ esok!”
   “Gila kau! Jangan nak buat kacau. Aku sembelih kau nanti!” Ugutanku hanya mengundang tawa Adam Mikail yang menyakitkan telingaku.
   “Hmm, kau datang tak esok?” Soalanku menghentikan tawa Mikail.
   “Kau nak aku datang tak esok?”
   “Datanglah. Kalau kau tak ada, aku tak akan mampu tersenyum pun,” jawabku jujur. Tidak pernah aku sejujur ini dengan lelaki yang sudah aku kenal hampir 10 tahun itu.
   “Tengoklah kalau aku tak sibuk,” kata Adam Mikail sebelum mengakhiri perbualan kami.
   Takut juga kalau nanti aku curang di belakang suamiku dengan Mikail walaupun ia kedengaran agak kelakar. Tapi aku memang perlukan lelaki yang bernama Adam Mikail dalam hidupku.
***
   “Rissa nak Sufi lindung muka Rissa dengan kipas tangan masa akad nikah nanti,” pintaku kepada ibuku sambil menarik laci meja solekku lalu mencapai kipas tangan yang berwarna putih. Putih, warna tema hari perkahwinanku yang ‘gilang- gemilang’ itu. Yalah, aku kan anak dan cucu perempuan tunggal dalam keluargaku. Memang gilang-gemilang andainya aku boleh berkongsi hari bersejarah ini dengan lelaki yang kucintai sepenuh hatiku.
   “Mana pernah dibuat begitu. Biarlah semua orang tengok betapa jelitanya anak ibu ini,” ibu cuba memujuk. Layah di kepalaku ibu betulkan dengan teliti. Bukan apa, aku cuma bimbang drama air mataku akan menjadi tontonan umum pula nanti. Aku juga masih belum sedia untuk melihat wajah bakal suamiku. Masih belum rela dengan perkahwinan ini.
   “Kalau tidak Rissa lari dari perkahwinan ini. Lepas itu, kahwin saja dengan lelaki Indon kerja buat rumah, ibu nak?” Aku cuba mengugut sambil ketawa kecil. Pasti ibu akan ikut kemahuanku kerana aku pernah melarikan diri ke rumah Adam Mikail hanya kerana aku enggan dihantar melanjutkan pelajaran ke India dalam bidang pilihan ayah iaitu bidang perubatan setelah keluarnya keputusan SPM.
   “Baiklah, ibu turut kemahuan anak dara ibu yang terakhir itu,” balas ibu lalu memeluk mesra bahuku.
   “Nanti anak ibu kena jaga suami baik-baik, tahu. Jangan sakitkan hati suami. Helena Carissa bukan milik ibu dan ayah dah lepas akad nikah nanti,” pesanan ibu benar-benar meruntun jiwaku. Bagaimana aku mahu menjaga hati suamiku kalau hatiku sendiri tidak menyayanginya?
***
   Sungguh fikiranku melayang entah ke mana saat kadi bertanya kepadaku sama ada aku ikhlas dengan pernikahan ini atau pun tidak. Aku cuma menjawab ‘ya’ saja. Mahu tidak mahu aku harus bernikah juga hari ini. Kalau aku membantah, pasti seluruh keluarga akan kecewa denganku. Aku hanya tunduk memandang baju kurung nikah berwarna putih yang cantik tersarung di tubuh langsingku. Ketika itu, aku sangat memerlukan Adam Mikail untuk memberikan kata-kata semangat. Pasti dia sedang sibuk dengan lukisan projek barunya sebab itulah aku masih tidak nampak bayangnya.
   “Aku terima nikahnya Helena Carissa binti Haiman dengan mas kahwin berupa sepasang telekung dan senaskhah al-Quran,” bergema dalam kepalaku kata-kata lelaki yang sudah sah menjadi suamiku itu. Kedengaran doa selamat sedang dibaca. Sejurus itu juga butir-butir jernih air mutiara dirembes keluar dari tubir mataku. Aku kini sudah sah menjadi seorang bidadari buat lelaki yang tidak pernah kukenal siapa. Tidak pernah kutahu namanya.
   Lima minit kemudian, aku dapat rasakan kehadiran seorang lelaki yang berpakaian sepasang baju melayu berwarna sedondon sedang berada di hadapanku.   
    “Hulurkan tangan cepat,” ayat yang berbentuk arahan daripada tuan empunya suara itu. Macam kukenal suara itu. Aku alihkan kipas tangan yang dipegang oleh sepupuku, Sufi,  perlahan-lahan.
   “Kau?!” Sepatah perkataan keluar dari mulutku. Terasa mahu tercabut jantungku apabila memandang wajah tampan ala-ala pemuda Cina yang sangat kukenali itu. Terkejut sangat!
   “Kau yang minta aku datang. Tapi kalau aku tak datang tak adalah pengantin lelaki hari ini,” balas ‘kawan baikku’ yang kini merupakan suamiku itu. Segaris senyuman yang terukir di bibirnya menampakkan lesung pipit yang hampir setiap hari menjadi tatapanku.
   “Aku tak faham!” Terbuntang mataku memandang sepasang mata coklat itu.
   “Nak tunggu kau faham sampai esok pun tak bercincinlah jari kau!” Tangan kananku direntap lalu sebentuk cincin emas bertatahkan sebutir permata berwarna putih cantik tersarung di jari manisku. Terlupa kami berdua sedang menjadi tumpuan, semua orang ketawa menyaksikan drama pengantin terkejut aku sebentar tadi.
   Aku menyalami tangan kanan milik Adam Mikail Datuk Azhar Xien dengan penuh tanda tanya di dalam kotak fikiranku. Setelah hampir 10 tahun kami menjalinkan persahabatan, kini baru aku tahu Adam Mikail adalah anak orang berada yang selama ini tidak tinggal bersama-sama keluarganya tetapi hanya tinggal dengan neneknya. Aku fikir dia anak yatim piatu kerana dia tidak pernah bercerita perihal keluarganya kepadaku. Sebab sangkaanku itu jugalah aku tidak mahu mempersoalkan tentang keluarganya, bimbang kawan baikku itu akan terguris hati.
   Adam Mikail menyentuh lembut daguku lalu satu kucupan tanda cinta hinggap di dahiku. Aku terpana, terkejut seperti baru saja dipanah petir. Terasa segalanya seperti mimpi di siang hari. Seorang lelaki yang dulunya adalah kawan baikku telah menjadi tunanganku tanpa aku sendiri sedar dan kini telah menjadi suamiku yang sah!
   “Kau kena ceritakan segalanya kepadaku!” Aku membisikkan ketidakpuasan hatiku ke telinga kiri suamiku. Sambil itu juga kami berdua menjadi tumpuan lensa kamera tetamu-tetamu yang hadir dan juga dua orang jurukamera yang dibayar khas. Rasa macam artis pula!
   “Malam inilah,” bisik Adam Mikail pula lalu mengenyitkan mata kirinya. Senyuman nakal terukir di wajah bujur sireh itu. Geram dengan jawapannya, satu cubitan berbisa hinggap di lengan kanannya. Dah halal, kan.
   Majlis perkahwinanku berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Entah mengapa rasa gusar di hatiku hilang begitu saja ketika kulihat wajah Adam Mikail di sisi sebagai pengantin lelakiku. Apa yang  pasti, segaris senyuman bahagia terlukis indah di wajahku saat ini.
   Sedang aku asyik melayan tetamu-tetamu yang hadir, datang seorang lelaki yang segak berbaju melayu krim lembut menyapaku.
   “Helena Carissa”. Aku segera menoleh ke belakang. Kulihat pembantu pengarah di syarikat tempatku bekerja sedang berdiri tegak di sebelah kiriku. Terasa seperti angin halilintar baru saja menerjah ke arahku! Kenapa dia ada di sini? Macam mana dia tahu?
   “Tahniah. Saya tak sangka perempuan yang dicintai Adam Mikail adalah perempuan yang sama ada di hati saya.” Senyuman Aiman Mukhlis dapat kusingkap sebagai senyuman kekecewaan. Mata berkaca itu kupandang sekilas.
   “Saya sendiri pun tak tahu tentang semua ini. Saya hanya turut permintaan ayah saja.”
   “Saya cemburu dengan Mikail. Tapi Mikail memang seorang lelaki yang baik. Semoga Helena Carissa sentiasa berbahagia di sisi Adam Mikail,” katanya kepadaku. Lelaki berbadan tegap itu berlalu pergi meninggalkan majlis perkahwinanku sebelum sempat aku bertanya dari mana dia tahu tentang perkahwinan ini.
   Bukan niatku mahu mengecewakan lelaki itu. Cuma segala-galanya telah kemas tertulis buatku. Jodohku adalalah bersama lelaki yang sudah 10 tahun berada di sampingku sebagai seorang teman, bukan lelaki yang baru kukenali itu.
 ***
   “Haaa, cepat tunjukkan mahkota kau kepada aku. Aku kan suami kau sekarang. Aku rasa dah satu jam kita ada dalam bilik ini, kau tak nak tanggalkan tudung kau, ke?” bebel Adam Mikail memecah kesunyian pada malam itu. Dia mencapai bantal kecil lalu dipeluk bantal kecil putih bersih itu. Seganlah! Tak pernah aku sebilik dengan lelaki ini!
   “Aku kekoklah. Kau dah jadi suami aku, betul ke ni?” Aku memalingkan wajah menghadap suamiku. Majalah ‘Remaja’ diletakkan di atas meja di tepi katil.
   “Betullah! Lepas ni kau tak payah baca majalah ‘Remaja’ dah, kau baca majalah ‘Wanita’ pula. Lepas tu, kita sama-sama baca majalah ‘Pa & Ma,” Mikail tersenyum sumbing dengan lawak jenaka yang dibuatnya sendiri.
   “Cepat cerita!” Arahku sambil duduk bersila di hadapannya. Tak habis-habis merapu! Aku tongkat dagu menunggu patah-patah perkataan keluar dari mulutnya.
   “Hmm, syarikat tempat kita kerja itu adalah milik keluargaku. Lepas ini, akulah yang pegang sebab aku anak sulung Datuk Azhar Xien. Aiman Mukhlis pula adik aku. Kau ini lembab juga, kan? Tak pernah perasan nama aku dengan nama Mukhlis hampir serupa, nama bapa pun sama!” Cerita Adam Mikail lalu menunjal kepalaku.
   “Sakitlah!”
   “Sorry, aku cuma nak bermanja dengan bini aku saja”. Dia ketawa kecil. Kepalaku diusap lembut. Penuh kasih sayang.
   “10 tahun kita kawan, kau tak pernah cerita pun.”
   “Kau tak pernah tanya. Nenek aku tinggal seorang diri jadi aku temankan dialah. Aku balik rumah keluarga aku pun sekejap-sekejap saja.” Dia menyentuh hujung hidungnya. Memang sudah menjadi tabiaatnya menyentuh hujung hidung sebegitu.
   “Kenapa bukan kau yang sandang jawatan pembantu pengarah dan kenapa kau dengan Mukhlis tak nampak macam adik beradik pun? Datuk Azhar itu aku tak hairan sangat sebab dia selalu tak ada di pejabat.”
   “Aku belajar bidang lukisan dan pembinaan jadi aku kenalah capai cita-cita aku nak jadi arkitek berwawasan dulu. Hmm, aku dengan Mukhlis memang tak rapat dari kecil lagi,” Adam Mikail dah bertukar nada. Tadi bukan main gembira lagi suaranya, sekarang mendatar pula.
   “Soalan sebenar, kenapa kau kahwini aku dan kenapa kau tak pernah beritahu aku tentang semua rancangan kau ini? Saja nak aku mati terkejut ke?” Kini giliran aku pula menunjal kepalanya tapi dia boleh tersenyum pula. Geram!
   “Jawapan untuk soalan pertama kau, the reason is everyday I catch myself smiling for no reason. Then I realize I am thinking about you.” Adam Mikail memandangku dengan pandangan penuh kasih. Sebiji epal merah digeselkan ke pipi kiriku. Aku lihat sinar cinta dalam matanya. Aku nampak keping-keping bahagia di hatinya. Kemudian, satu ciuman singgah di pipi kananku. Tubuhku membatu. Lidahku kelu. Aku terkesima.
   Pappp! Mikail menampar lengan kiriku. Baru aku nak rasa di awang-awangan cinta tadi, kacau betul!
   “Suka ke aku cium kau?” Adam Mikail memandangku menanti jawapan. Aku dapat rasakan pipiku sudah berona merah.
   “Jadi kaulah yang baik hati sangat berikan aku epal merah dan kad-kad selama ini?” Aku segera menukar topik perbualan. Aku benar-benar terkejut. Adam Mikail memang seorang lelaki yang penuh dengan kejutan! Dia mengangkat kening kanannya setelah mendengar soalanku itu. Kacaknya dia buat macam itu!
   “Jangan nak salahkan aku pula, kau yang tak tengok gambar lelaki bertuah yang ibu suruh kau tengok itu. Kalau tak mesti dah lama kau tahu. Tapi aku dah agak yang kau tak akan tengok. Aku kenal isteri aku ini dah 10 tahun. Hmm, kau ikhlas tak dengan semua ini?”
   “Bila pertama kali aku menatap sepasang mata coklat kau, hatiku sudah terpaut. Tapi bila aku sedar yang kau cuma kawan baik yang berjiran denganku, aku lupakan perasaan itu. Kau cinta pertama aku yang aku tak pernah termimpi akan menjadi milikku sampai ke syurga. Aku ikhlas terima kau sebagai suamiku,” kataku sambil mengusap lembut kedua-dua pipinya.  
   “Aku baru tahu yang adik aku itu sukakan kau. Aku ternampak nama kau ditulis atas kertas dan dilekatkan di cermin bilknya semalam. Kalau aku tahu dari awal…” sambung Mikail lantas aku cepat-cepat meletakkan jari telunjuk kananku di bibirnya.
   “Aku cintakan kau.” Matanya kutatap penuh cinta. Tudung di kepala kutanggalkan perlahan-lahan.
Malam itu merupakan malam yang sangat indah buatku. Memang Adam Mikail akan menjadi kawan baik dan suami yang kucintai selama-lamanya. Malam itu juga, kebahagiaan telah menjadi milikku bersama Adam Mikail.
   Setelah 3 tahun menyulam cinta dengan kawan baikku sendiri, aku sangat menghargai kehidupanku bersama lelaki itu. Aku sangat bersyukur dengan perkahwinan itu. Terima kasih, Adam Mikail. Kau betul, lelaki yang aku tidak rela dikahwinkan itu kini sudah memberikanku kebahagiaan yang termanis buatku. Lelaki itu juga telah menghadiahkanku permata tidak ternilai yang diberi nama Raqib Taqif. Terima kasih, ya Tuhan. Dan, epal merah juga telah menjadi simbol cinta kita kerana epal merahlah yang menyatukan hati Helena Carissa dan Adam Mikail.


***